Memilih Prasekolah Yang Terbaik Untuk Anak Anda Di Malaysia

more on the topic

Prasekolah Yang Sesuai

Mencari dan memilih prasekolah yang terbaik serta sesuai untuk anak bukanlah kerja mudah. Banyak faktor dan pertimbangan yang perlu diambil kira; terlalu banyak prasekolah yang perlu dilihat dan dinilai. Kemudiannya, anda dihidangkan pula dengan terlalu banyak pilihan dan maklumat; tidak tahu di mana titik permulaan yang sebenarnya. Tidak tahu hendak mula di mana. Dalam artikel ini, kami sediakan panduan-panduan ringkas yang boleh membantu anda, emak dan ayah di luar sana membuat keputusan yang terbaik untuk anda serta anak anda.

Umur Yang Sesuai

Rata-rata prasekolah di Malaysia mula menerima kanak-kanak sekitar 2 ½ tahun. Ini tidak pula bermaksud kanak-kanak berusia 2 ½ itu automatik telah bersedia untuk ke sekolah. Kesediaan ke sekolah bergantung kepada emosi dan perkembangan kanak-kanak itu sendiri. Berikut adalah beberapa tanda yang boleh membantu anda menentukan sama ada anak anda telah bersedia atau tidak untuk ke sekolah.

• Adakah anak seorang yang sudah pandai berdikari?
• Bolehkah anak anda berjauhan dengan anda?
• Bolehkah anak anda membuat sesuatu aktiviti dengan sendiri tanpa bantuan?
• Bolehkah dia menyertai aktiviti berkumpulan? Adakah dia bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mematuhi waktu pra-persekolahan?
• Yang paling utama, kenapa anda mahu anak anda pergi ke prasekolah?

Seseorang kanak-kanak boleh dianggap sudah bersedia jika dia memenuhi semua kriteria di atas. Jika tidak, jangan. Jangan terpedaya dengan tanggapan popular yang sering mengatakan bahawa lebih awal adalah lebih baik. Lebih awal tidak selalunya baik. Biarkan anak-anak anda menjadi kanak-kanak mengikut masa mereka sendiri. Pendedahan terlalu awal terhadap pembelajaran dan akademik, menurut kajian, tidak membawa sebarang manfaat yang baik serta jelas kepada kanak-kanak. Lilian G. Katz, Profesor Emeritus Pendidikan Awal Kanak-kanak di University of Illinois pernah menulis;

Pandangan umum yang mengatakan “lebih awal lebih baik” adalah tidak berasas. Kajian telah membuktikan sebaliknya. Beberapa lagi kajian susulan telah menunjukkan bahawa sementara pengajaran formal berupaya menghasilkan keputusan peperiksaan yang baik dalam jangka pendek, kurikulum prasekolah dan kaedah pengajaran yang menekankan peranan interaktif kanak-kanak yang memberi peluang yang kerap bagi mereka untuk melaksanakan inisiatif, sementara tidak begitu berkesan dalam jangka masa pendek, tetapi dalam jangka masa panjang, ianya berupaya menarik lebih penyertaan kanak-kanak serta meningkatkan pencapaian sekolah.

Baca artikel penuh di SINI

Apa Itu Prasekolah?

Prasekolah, tadika atau kindergarten dalam Bahasa Inggeris, adalah tempat pembelajaran yang menawarkan pendidikan awal untuk kanak-kanak. Kanak-kanak ini lazimnya berusia di antara 2 hingga 6 tahun. Fasa sebelum mereka memasuki Tahun Satu. Sebelum prasekolah pula, kanak-kanak ini sering dihantar ke pusat asuhan atau Taska.

Kos Pendidikan Prasekolah

Terdapat prasekolah kerajaan. Terdapat juga prasekolah swasta. Contoh prasekolah kerajaan ialah Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan. Yuran bulanan untuk prasekolah kerajaan hampir sepenuhnya disubsidi oleh kerajaan. Ibu bapa hanya perlu membayar tidak lebih daripada RM100 sebulan. Prasekolah swasta pula dimiliki oleh organisasi swasta. Yuran prasekolah swasta adalah di antara RM400 hingga RM2000, bergantung kepada lokasi, serta jenis dan kualiti prasekolah tersebut.

Adakah Prasekolah Penting?

Pendidikan prasekolah adalah peringkat pendidikan yang paling penting. Paling penting. Anda boleh membaca beberapa kajian tentang betapa pentingnya fasa prasekolah ini di SINI, SINI serta di SINI. Ya, prasekolah adalah penting, dengan syarat bahawa prasekolah tersebut mestilah dikendalikan oleh guru yang berkelayakan dan terlatih. Apa yang anak anda belajar di prasekolah mempunyai kesan langsung terhadap mereka apabila mereka dewasa.

Memilih Prasekolah

Dalam memilih prasekolah, emakayah.com mencadangkan emak dan ayah memberi perhatian kepada tiga (3) aspek penting ini, iaitu:

  1. Mula dengan pertimbangkan keperluan dan peruntukan belanja keluarga anda. Tanya soalan di bawah ini kepada diri anda;
  • Adakah anda memerlukan program sepenuh hari atau program setengah hari untuk anak anda?
  • Adakah anak anda akan merasa selesa di pusat jagaan atau di tempat bersuasanakan rumah?

Selepas mengambil kira peruntukan belanja dan keperluan yang sesuai dengan keluarga anda; hubungi prasekolah tersebut, bertanya dan jadualkan janji temu. Maklumkan kepada pengetua bahawa anda ingin melawat prasekolah dia. Semasa lawatan, berbincang dengan pengetua dan kakitangan di situ. Perhatikan dengan teliti. Lihat sama ada mereka memenuhi semua kriteria poin 2 di bawah.

2. Sentiasa menilai kualiti sesebuah prasekolah itu berdasarkan kualiti tenaga pengajar yang dilantik untuk mengajar anak anda. Adakah guru-guru tersebut benar-benar berkelayakan? Jangan mudah yakin dengan “Guru Kami Tidak Memiliki Kelayakan Tetapi Mereka Sangat Berdedikasi.” Sekiranya guru-guru yang tidak berkelayakan ini berdedikasi seperti yang mereka katakan, mereka sepatutnya sanggup dan telah belajar bertahun-tahun untuk mendapatkan satu atau dua ijazah.

Sekiranya tahap pendidikan rendah, menengah, mahupun peringkat universiti diajar oleh guru-guru yang berkelayakan dengan ijazah pengajaran yang relevan, mengapa tidak pendidikan awal kanak-kanak diajar oleh guru-guru yang berkelayakan dengan ijazah pengajaran yang relevan juga? Anda bakal mendaftarkan anak-anak anda yang belum lagi pandai mengekspresikan perasaan mereka melalui kata-kata dengan sempurna, maka adalah penting guru-guru pendidikan awal ini berkelayakan untuk menjaga kanak-kanak ini.

3. Adakah prasekolah itu mempunyai lesen? Tidak? Elakkan mendaftar anda anda di prasekolah tersebut. Jangan pertimbangkan prasekolah yang tidak berlesen. Muktamad. Juga, jangan mudah terpengaruh dengan gaya falsafah pendidikan yang ditulis berbunga-bunga dan berwarna-warni di laman web mereka, atau kaedah pendidikan yang sedang trend secara online, sehingga anda telah melawat prasekolah tersebut, berbincang dengan pengetua prasekolah tersebut serta staf pengajar di situ dan jangan lupa juga untuk melihat dan menilai bilik darjah mereka.

Prasekolah yang mempunyai falsafah yang gah tidak menjamin pengajaran dan pembelajarannya berkualiti. Guru berkualiti berupaya mencetus dan menyampaikan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Falsafah pendidikan hanyalah sebagai panduan guru untuk rujukan dan tafsiran mereka. Akhirnya, bukan falsafah yang telah ditulis dengan baik yang membentuk pengalaman anak anda, tetapi guru-guru, persekitaran serta polisi prasekolah itu sendiri.

Memilih Prasekolah, Apa Yang Perlu Anda Beri Perhatian

  • Guru. Adakah guru-guru di situ berkelayakan? Adakah mereka sedang menjalani sebarang latihan perguruan dan pendidikan? Perhatikan guru di situ dan lihat bagaimana mereka berinteraksi dengan kanak-kanak di situ. Apa anda rasa tentang cara mereka berinteraksi dengan kanak-kanak tersebut?
  • Kurikulum. Adakah kurikulum mereka holistik? Adakah ia terlalu menitikberatkan akademik semata-mata? Pilihlah kurikulum yang memberi penekanan terhadap aktiviti bermain; aktiviti bermain yang sedar dan yang mengikut perkembangan anak anda. Baca jurnal ini untuk memahami lebih lanjut mengapa bermain itu penting untuk kanak-kanak.
  • Persekitaran. Bilik darjah mereka. Adakah prasekolah tersebut mempunyai pencahayaan yang baik dan persekitaran yang bersih? Adakah ia terlalu bersih dan sempurna untuk kelas yang sentiasa didiami oleh kanak-kanak? Kelas yang ideal seharusnya kelihatan seperti kanak-kanak kecil sebenarnya telah dan boleh bermain di situ. Nilai persekitaran tersebut dari mata anak anda. Adakah anak anda akan berasa selesa berada di situ? Adalah penting untuk anda mengambil kira faktor-faktor ini. Fikirkan, anak anda mungkin akan berada di prasekolah tersebut lebih lama daripada anda berada di pejabat.
  • Lokasi. Adakah prasekolah itu jauh dari rumah? Adakah perjalanannya nanti akan mengambil masa lebih dari satu jam untuk tiba? Jika lokasi yang jauh tidak menjadi sebarang masalah kepada anda, dan anak anda juga suka pergi ke prasekolah tersebut, maka pilihlah prasekolah tersebut. Buat keputusan berdasarkan apa yang sesuai dengan anda dan apa yang terbaik untuk anak anda. Sebagai ibu bapa, kita akan sanggup buat apa sahaja untuk anak-anak kita. Pengorbanan. Ini adalah salah satu daripadanya.

Kesimpulan

Tidak ada jawapan yang betul mahupun salah. Jawapan yang terbaik sering bergantung kepada bagaimana seseorang itu mendefinisikan prasekolah yang sesuai untuk anak mereka. Tidak ada prasekolah yang terlalu sempurna tetapi terdapat banyak prasekolah yang ideal di luar sana yang mungkin sesuai untuk anak anda. Mungkin tidak. Teruskan mencari. Ingatlah bahawa lawat beberapa prasekolah terlebih dahulu sebelum anda memutuskan prasekolah tersebut adalah prasekolah yang sesuai untuk anak anda.

Rujukan

  1. Montgomery, N., Stewart, D. H., Ellis, C., Miles, K., Sullivan, D., & Montgomery, N. (n.d.). How to tell if your child is ready for preschool. Retrieved from https://www.babycenter.com/0_how-to-tell-if-your-child-is-ready-for-preschool_64544.bc.
  2. (n.d.). Enrolling Government Pre-School. Retrieved from https://www.malaysia.gov.my/portal/subcategory/99.
  3. Getting List of Government Preschool. (n.d.). Retrieved from https://www.malaysia.gov.my/portal/content/29443.
  4. Importance of early childhood development. (n.d.). Retrieved from http://www.child-encyclopedia.com/importance-early-childhood-development.
  5. Defending the Early Years (DEY). (2019, October 3). Retrieved from https://dey.org/.
  6. Ginsburg, K. R. (2007). The importance of play in promoting healthy child development and maintaining strong parent-child bonds. Pediatrics119(1), 182-191.
  7. Katz, L. G. (2015). Lively minds: Distinctions between academic versus intellectual goals for young children. Defending the Early Years.
  8. TABIKA. (n.d.). Retrieved from https://www.kemas.gov.my/tabika-/.
  9. Barnett, W. (1995). Long-Term Effects of Early Childhood Programs on Cognitive and School Outcomes. The Future of Children,5(3), 25-50. doi:10.2307/1602366
  10. Currie, J. (2001). Early childhood education programs. Journal of Economic perspectives15(2), 213-238.
  11. Lenaerts, Vandenbroeck, Beblavý, & European Expert Network on Economics of Education. (2018, January 17). Benefits of early childhood education and care and the conditions for obtaining them. Retrieved from https://op.europa.eu/en/publication-detail/-/publication/14194adc-fc04-11e7-b8f5-01aa75ed71a1.

Nur Aishah
Nur Aishah
I'm Aishah, co-founder of emakayah.com. Welcome to my author page. The following are mostly translations from our published English articles into Bahasa Melayu. Some articles, however, have been originally written in Bahasa Melayu.

More on this topic

Comments

Leave a Reply

Please Login to comment
avatar
  Subscribe  
Notify of

Popular Posts

Membaca Kepada Kanak-Kanak: Pentingnya Literasi Awal

Manfaat Kognitif Sains telah mengesahkan apa yang sudah kita agak dan ketahui selama ini; membaca kepada/bersama kanak-kanak mempunyai...

Choosing The Right Preschool For Your Child In Malaysia

The Right Preschool Finding the right preschool for your child can be daunting. Too many considerations to...

What Malaysia Can Learn From The World’s Best Education System

Equal Access To Education Formal education in Malaysia is divided into 5 distinct educational stages; a)...

Reading Aloud To Children: Why It’s Important

Cognitive Benefits Science has confirmed what you already knew; reading aloud to children has clear cognitive benefits. Several...

How Graphic Novels And Comics Can Help Struggling Readers

If your child thinks reading is a chore, he's more likely not going to be thrilled when asked to sit down...
error: Content is protected