Pentingnya Bermain: Kenapa Kanak-Kanak Perlu Bermain

more on the topic

Hak Setiap Anak

Bermain adalah penting untuk perkembangan optimum kanak-kanak. Setiap kanak-kanak mesti diberi ruang dan peluang untuk bermain. Terdapat dua jenis aktiviti bermain, bermain secara bebas atau bermain secara berpandu, dan kedua-dua ini berkait rapat dengan pembangunan sosial dan akademik kanak-kanak. Bermain adalah penting untuk kesejahteraan, fizikal, sosial, dan emosi kanak-kanak. Sangat penting sehinggakan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia telah mengiktiraf bermain sebagai hak asasi setiap kanak-kanak [1].

Perkara 31: 1. Negara-negara yang berkenaan mengiktiraf hak kanak-kanak untuk berehat di waktu lapang, melibatkan diri dalam aktiviti bermain dan rekreasi yang sesuai dengan usia kanak-kanak tersebut dan untuk mengambil bahagian secara bebas dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Perkara 31: 2. Negara-negara yang berkenaan hendaklah menghormati dan mengiktiraf hak kanak-kanak untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian, dan akan menyokong usaha menyediakan ruang dan peluang yang sesuai serta setara untuk kegiatan kebudayaan, seni, dan rekreasi.

Sejarah Yang Panjang

Kajian tentang bermain ini telah bermula sejak dahulu lagi. Tujuan bermain serta kaitannya dengan perkembangan kanak-kanak dan mengapa kanak-kanak bermain telah dikaji selama lebih dari satu abad oleh ramai sarjana dan pemikir dari pelbagai bidang. Sebelum abad ke-19 dan awal abad ke-20, teori-teori bermain sebahagian besarnya berpaksikan falsafah.

Bermain membolehkan kanak-kanak berlatih menjadi seorang dewasa dan belajar pelbagai kemahiran-kemahiran yang berguna dalam kehidupanKarl Groos, Play of Man.

Bermain adalah aktiviti katarsis yang menghilangkan naluri primitif yang telah diturunkan melalui keturunanG. Stanley Hall, The Sage Handbook Of Outdoor Play And Learning.

Teori-teori moden yang muncul selepas tahun 1920, walau bagaimanapun, lebih berpaksikan kepada penyelidikan yang lebih empirikal. Teori-teori moden ini mendefinisikan bermain sebagai rancangan yang menggalakkan kognisi atau simbolisme. Sebagai contoh, Sigmund Freud beranggapan bahawa kanak-kanak bermain untuk mengenali dan mengatasi perasaan tersembunyi mereka sendiri [2]. Jean Piaget pula mendefinisikan bermain sebagai proses asimilasi, atau usaha kanak-kanak tersebut untuk menyesuaikan diri dengan alam persekitarannya [3].

Peningkatan Prestasi Akademik Melalui Bermain

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak berupaya mempamerkan kemahiran berbahasa dan literasi yang paling baik semasa mereka bermain, dan kemahiran berbahasa ini sangatlah berkait rapat dengan pembangunan literasi awal. Para penyelidik literasi awal kanak-kanak yang terkenal, Kathleen Roskos dan James Christie, dalam jurnal yang mereka tulis bersama, menyimpulkan bahawa “bermain berupaya menyediakan peraturan yang menggalakkan aktiviti, kemahiran-kemahiran, serta strategi-strategi berkaitan literasi . . . dan menyediakan peluang untuk kanak-kanak belajar mengenal huruf [4].”

Peningkatan Sosial Melalui Bermain

Kanak-kanak belajar menguruskan kelakuan dan mengawal emosi mereka melalui bermain. Eric F. Dubow, PhD, profesor psikologi di Bowling Green State University, dalam jurnalnya, menjelaskan bahawa bermain, sama ada bermain secara bebas atau bermain secara berpandu berupaya membantu meningkatkan kecekapan sosial, keyakinan serta pengawalan diri [5]. Dalam bermain secara bebas misalnya, kanak-kanak boleh belajar bagaimana untuk berunding, menunggu giliran, serta menguruskan diri sendiri dan orang lain.

Haight, Black, Jacobsen, dan Sheridan, dalam buku yang mereka tulis bersama, Play = Learning: How Play Motivates and Enhances Children’s Cognitive and Social-Emotional Growth, menjelaskan bahawa melalui bermain, kanak-kanak yang trauma dapat meringankan beban masalah mereka. Di samping itu, bermain dan lakonan juga berupaya membantu orang dewasa belajar dan memahami kanak-kanak [6].

Manfaat Bermain

Jangan memandang rendah atas aktiviti bermain. Kanak-kanak, sebenarnya, belajar dan berkembang melalui bermain. Dengan hanya bermain, seorang kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran kognitif, kebolehan fizikal, perbendaharaan kata baru, kemahiran sosial serta kemahiran membaca mereka. Bermain adalah mudah dan kompleks; faedahnya besar dari apa yang boleh dilihat oleh mata kasar. Emosi kanak-kanak boleh berkembang dengan kuat dan sihat hanya melalui bermain. Banyak yang telah ditulis mengenai bermain dan faedahnya. Buku The Power of Play oleh David Elkind misalnya, adalah salah satu dari banyak lagi karya-karya di luar sana ang menyokong dan mengupas manfaat bermain.

Rata-rata kita yang terlibat dalam kajian tentang bermain beranggapan bermain adalah satu bentuk latihan kreatif – untuk imaginasi, untuk rasa ingin tahu, serta untuk fantasi. Kami percaya bahawa bermain mempunyai peranan yang sangat penting dalam pembangunan seseorang manusia. Melalui bermain, kanak-kanak berpeluang mencipta dan menyelami pengalaman belajar yang baru, dan melalui pengalaman belajar yang baru ini, mereka belajar kemahiran sosial, emosi, dan intelek yang tidak dapat diperolehi dengan cara dan aktiviti lain. Walau bagaimanapun, bermain kini sering dianggap tidak berfaedah dan tidak sihat. Pentadbir sekolah dan guru-guru mahupun ibu bapa, disokong oleh ahli-ahli politik berkepentingan; sering mempunyai tanggapan buruk terhadap aktiviti bermain. Mereka mendefinisikan bermain semata-mata tidak mendatangkan sebarang manfaat melainkan kanak-kanak itu belajar sesuatu ketika bermain! – David Elkind, The Power of Play

Berapa Kerap Kanak-Kanak Mesti Bermain

Adalah penting bagi kanak-kanak untuk mempunyai masa yang cukup bagi merancang permainan mereka dan bermain. Tempoh bermain yang ideal adalah sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit. Oleh itu, adalah penting bahawa sekolah – sekolah memberi penekanan yang lebih kepada aktiviti bermain [7]. Tempoh bermain yang lebih lanjut berupaya memupuk bentuk permainan sosial dan kognitif yang lebih tinggi. Tempoh bermain yang panjang membenarkan aktiviti bermain itu sendiri berkembang dalam arah yang berbeza. Tempoh bermain yang singkat, sebaliknya, cenderung untuk mengganggu, mengubah dan memisahkan perhatian kanak-kanak itu dari aktiviti bermain tersebut [8].

Kanak-kanak yang diberikan sepenuh masa untuk bermain lebih cenderung untuk merangka situasi yang imaginatif, untuk meneruskan usaha mencipta pengalaman belajar yang baru dan lebih bersedia untuk bersemuka dengan masalah mereka berbanding kanak-kanak yang waktu bermain mereka disingkatkan. Jika kanak-kanak sudah sedia maklum yang waktu bermain di sekolah mereka adalah singkat, mereka awal-awal akan menyuaikan tempoh bermain mereka mengikut masa yang telah diperuntukkanKathleen Manning & Ann Sharp, Structuring Play in the Early Years at School

Kesimpulan

Memberi ruang dan peluang untuk kanak-kanak bermain adalah salah satu cara yang paling bermakna orang dewasa boleh lakukan untuk memupuk aktiviti bermain di kalangan kanak-kanak. Bermain dan belajar bergerak seiring. Kedua-dua ini adalah saling berkaitan dan bukannya dua aktiviti berasingan. Data dan kajian sudah bergitu jelas. Bermain adalah penting untuk perkembangan otak yang sihat.

Adalah melalui bermain, kanak-kanak pada awal usia berpeluang berinteraksi dengan dunia di sekeliling mereka. Bermain membolehkan kanak-kanak mencipta dan meneroka dunia yang mereka dapat kuasai, menakluki ketakutan mereka ketika bermain sebagai orang dewasa, kadang-kadang bersama dengan anak-anak atau penjaga dewasa lainKenneth R. Ginsburg, The Importance of Play in Promoting Healthy Child Development and Maintaining Strong Parent-Child Bonds.

Rujukan

  1. Convention on the Rights of the Child. (n.d.). Retrieved from https://www.ohchr.org/en/professionalinterest/pages/crc.aspx.
  2. Waller, T. (2017). The Sage handbook of outdoor play and learning. Los Angeles: SAGE Reference.
  3. Mayesky, M. (2009). Creative activities for young children. Clifton Park, NY: Delmar.
  4. Roskos, Kathleen & Christie, James. (2001). Examining the Play–Literacy Interface: A Critical Review and Future Directions. Journal of Early Childhood Literacy. 1. 59-89. 10.1177/14687984010011004.
  5. Connolly, J. A., & Doyle, A.-B. (1984). Relation of social fantasy play to social competence in preschoolers. Developmental Psychology, 20(5), 797–806. https://doi.org/10.1037/0012-1649.20.5.797
  6. Singer, D. G., Golinkoff, R. M., & Hirsh-Pasek, K. (2006). Play=learning: how play motivates and enhances childrens cognitive and social-emotional growth. Oxford: Oxford University Press.
  7. Heidemann, S., Hewitt, D., & Heidemann, S. (2010). Play: the pathway from theory to practice. St. Paul, MN: Redleaf Press.
  8. Cody, T. (1994). A play based early childhood education environment: a handbook for childcare workers (Doctoral dissertation, Lethbridge, Alta.: University of Lethbridge, Faculty of Education, 1994).
Nur Aishah
Nur Aishah
I'm Aishah, co-founder of emakayah.com. Welcome to my author page. The following are mostly translations from our published English articles into Bahasa Melayu. Some articles, however, have been originally written in Bahasa Melayu.

More on this topic

Comments

Leave a Reply

Please Login to comment
avatar
  Subscribe  
Notify of

Popular Posts

Membaca Kepada Kanak-Kanak: Pentingnya Literasi Awal

Manfaat Kognitif Sains telah mengesahkan apa yang sudah kita agak dan ketahui selama ini; membaca kepada/bersama kanak-kanak mempunyai...

Choosing The Right Preschool For Your Child In Malaysia

The Right Preschool Finding the right preschool for your child can be daunting. Too many considerations to...

What Malaysia Can Learn From The World’s Best Education System

Equal Access To Education Formal education in Malaysia is divided into 5 distinct educational stages; a)...

Reading Aloud To Children: Why It’s Important

Cognitive Benefits Science has confirmed what you already knew; reading aloud to children has clear cognitive benefits. Several...

How Graphic Novels And Comics Can Help Struggling Readers

If your child thinks reading is a chore, he's more likely not going to be thrilled when asked to sit down...
error: Content is protected