Kajian Mendapati Hukuman Rotan Menjadikan Kanak-kanak Lebih Agresif

Memukul dan menjerit kepada anak-anak adalah satu bentuk disiplin yang sangat popular. Popular kerana bentuk disiplin begini adalah sangat mudah untuk diamalkan. Popular, mudah, dan ramai penjaga mengamalkannya tetapi cara disiplin begini adalah salah. Hasil-hasil penyelidikan terus menasihati ibu bapa agar tidak menggunakan hukuman fizikal. Hukuman fizikal sebaliknya, hanya akan menjadikan anak-anak lebih agresif di samping menimbulkan risiko kepada kesihatan mental mereka.

Akademi Pediatrik Amerika (AAP) dalam garis panduannya telah menegaskan bahawa;

Strategi disiplin yang kasar; yang menggunakan sebarang bentuk hukuman dera mahupun tindakan menjerit kepada kanak-kanak serta memalukan mereka, tidak membawa sebarang manfaat yang baik sama ada dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang. Berdasarkan kajian baru, penyelidik-penyelidik mendapati hukuman dera sebegini berkait rapat dengan peningkatan risiko negatif tingkah laku, kognitif, psikososial, serta emosi seseorang kanak-kanak – AAP

AAP menjelaskan akibat-akibat dari hukuman rotan yang diamalkan oleh sesebuah keluarga dalam 7 perkara ringkas berikut;

  • Hukuman rotan yang dilakukan kepada kanak-kanak yang berusia 18 bulan ke bawah meningkatkan kemungkinan kecederaan fizikal;
  • Hukuman rotan yang berulang akan membuatkan seseorang kanak-kanak itu berkelakuan agresif di samping berupaya mencetuskan perbalahan antara ibu bapa dan anak-anaknya; sekali gus boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan;
  • Hukuman rotan berkait rapat dengan kelakuan kanak-kanak yang agresif;
  • Kanak-kanak yang sering menerima hukuman rotan cenderung membawa kesan atau pengaruh yang tidak elok, seperti mengingkari arahan serta menjadi agresif apabila sudah dewasa;
  • Hukuman rotan berkait rapat dengan risiko gangguan kesihatan mental serta masalah kognisi;
  • Sesebuah keluarga yang sedang mengalami tekanan seperti masalah kewangan, masalah kesihatan mental, pergaduhan di antara pasangan, atau mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah berisiko tinggi untuk menggunakan hukuman rotan terhadap anak-anaknya.
  • Hukuman rotan berkait rapat dengan kesan-kesan di kemudian hari yang tidak elok, kesan-kesan ini adalah sama seperti kanak-kanak yang telah melalui penderaan fizikal.

AAP seterusnya menegaskan bahawa:

Pertalian antara hukuman rotan dan orang dewasa yang mempunyai tahap kesihatan yang tidak berapa baik telah dikaji dalam sebuah laporan yang diterbitkan pada tahun 2017. Laporan ini menganalisis maklumat asal yang telah dikaji pada tahun 1998 dalam laporan Adverse Childhood Experiences Study. Melalui kajian ini, laporan tersebut berpendapat bahawa hukuman rotan, atau sebarang tindakan memukul adalah faktor risiko bebas yang mempunyai sifat dan kesan yang sama seperti yang terdapat pada kanak-kanak yang mempunyai zaman kanak-kanak yang buruk – AAP

Berikut adalah keratan-keratan ringkas yang diambil dari kajian 20 tahun yang telah dijalankan oleh Joan E Durrant. Joan E Durrant adalah seorang ahli psikologi kanak-kanak serta profesor di sebuah Jabatan Sains Kesihatan Masyarakat. Kajian beliau telah menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara hukuman dera dengan perkembangan negatif seseorang individu.

Sepanjang dua dekad yang lalu, kami telah melihat perubahan perspektif mengenai hukuman fizikal terhadap kanak-kanak. Pada tahun 1990, semakin banyak kajian-kajian serta bukti yang memperincikan hubungan antara hukuman fizikal dan perkembangan negatif kanak-kanak, dan Konvensyen Hak Kanak-kanak telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Walau bagaimanapun, hanya empat buah negara sahaja yang bersetuju untuk melarang hukuman fizikal.

Pada tahun 2000, kajian mengenai hukuman dera semakin berkembang, dan konvensyen itu telah diratifikasi oleh 191 daripada 196 negara di seluruh dunia, 11 daripadanya telah bertindak untuk melarang semua bentuk hukuman fizikal. Hari ini, kajian-kajian menunjukkan risiko yang datang dari hukuman fizikal adalah kukuh, konvensyen ini telah diintegrasikan ke dalam rangka kerja undang-undang dan dasar dalam banyak negara, dan 31 negara telah membuat larangan terhadap hukuman fizikal kanak-kanak. Ketiga-tiga kekuatan ini – penyelidikan, konvensyen dan reformasi undang-undang – telah mengubah perspektif terhadap hukuman fizikal.

Kuantiti bukti yang semakin bertambah serta kemahuan untuk memberi pengiktirafan hak-hak kanak-kanak telah membawa kita ke satu titik sejarah. Doktor kini dengan yakin menggalakkan ibu bapa mengamalkan pendekatan yang lebih membina dalam mendisiplin anak-anak mereka, di samping menggunakan pekerjaan mereka sebagai doktor untuk membimbing aspek-aspek lain perkembangan sihat kanak-kanak. Dengan cara tersebut, doktor berupaya meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak serta hubungan kekeluargaan bagi sesebuah populasi penduduk tempatan. Di sini, kami membentangkan analisis penyelidikan 2 dekad mengenai hukuman fizikal untuk membantu doktor dalam peranan penting ini.

Bukti sudah jelas, terang lagi bersuluh – hukuman fizikal kanak-kanak dan remaja tidak memainkan sebarang peranan yang berguna dalam pembangunan mereka. Hukuman fizikal, sebaliknya, hanya menimbulkan risiko kepada perkembangan sahsiah mereka. Kesimpulannya jelas – ibu bapa mesti menggunakan pendekatan alternatif yang positif untuk mendisiplinkan anak-anak.

Kanak-kanak belajar dengan melihat bagaimana seseorang berkelakuan di sekeliling mereka. Anda. Ibu bapa mereka. Memberi ganjaran apabila mereka berkelakuan baik serta memisahkan mereka dari aktiviti atau permainan yang menyeronokkan adalah salah satu strategi yang berkesan. Memahami bagaimana untuk berkomunikasi dengan anak anda mengikut peringkat perkembangan mereka yang berbeza juga membantu.

Ajar kanak-kanak bagaimana untuk mengekspresikan perasaan mereka. Jika anda berasa kecewa, anda mungkin mahu berkata, “Anda buat saya sangat marah ketika ini.” Sebaliknya, beritahu dia apa yang anda betul-betul rasa: “Ibu benar-benar rasa kecewa sekarang.” Dengan berbuat demikian, tindakan tersebut berupaya mengajar kanak-kanak untuk memberitahu apa yang mereka rasa dan bukannya membuat kenyataan yang menyakitkan hati. Kemudian, bantu anak anda untuk terus mengekspresikan apa yang dia rasa ketika mereka kecewa dan marah. Sebagai contoh, “Anda nampak kecewa sekarang.” Jika tekaan anda tentang perasaan mereka salah, biarkan anak anda membetulkan andaBring Out the Best in Your Children

Tidak tahu di mana hendak mula? Boleh lawati laman web ini; healthyparents.org. Portal ini menawarkan pelbagai nasihat dan cara untuk mendisiplinkan kanak-kanak. Selain itu, anda juga boleh memuat turun artikel ini; Bring Out the Best in Your Children dalam PDF. 


Rujukan

Sege, R. D., Siegel, B. S., ABUSE, C. O. C., & COMMITTEE ON PSYCHOSOCIAL ASPECTS OF CHILD AND FAMILY HEALTH. (2018). Effective discipline to raise healthy children. Pediatrics142(6), e20183112.

Durrant, J., & Ensom, R. (2012). Physical punishment of children: lessons from 20 years of research. CMAJ184(12), 1373-1377.

Gershoff, E. T. (2013). Spanking and child development: We know enough now to stop hitting our children. Child development perspectives7(3), 133-137.

Research on Spanking: It’s Bad for ALL Kids. (n.d.). Retrieved from https://www.psychologytoday.com/us/blog/moral-landscapes/201309/research-spanking-it-s-bad-all-kids

What is Time-Out? (2019, November 5). Retrieved from https://www.cdc.gov/parents/essentials/timeout/whatistimeout.html

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Nur Aishah
Nur Aishah
I'm Aishah, co-founder of emakayah.com. Welcome to my author page. The following are mostly translations from our published English articles into Bahasa Melayu. Some articles, however, have been originally written in Bahasa Melayu.

Home Education Accelerator - Training Program for Parents & Carers

Learn how to offer Future-Oriented Personalised Holistic Home Learning! You can easily support your children's learning at home - without any planning or disruptions to your everyday family life!

Active Learning Booster - Training Program for Early Childhood & Primary Teachers

Online Interactive Teacher Training Program to help you offer Future-Oriented Early Childhood and Early Primary Education based on Active Experiential Holistic Learning!

Subscribe to our newsletter

Enter your email address and join the ranks of subscribers to get our latest updates direct to your inbox.

error: Content is protected