Mengapa Cuti Paterniti Penting Untuk Para Bapa

Adakah para bapa memainkan peranan penting dalam membesarkan anak-anak?

Sementara para ibu sentiasa dilihat sebagai wirawati bagi sesebuah rumahtangga, para bapa juga turut memberi impak dalam kehidupan anak-anak dan keluarga dengan kehadiran dan penglibatan mereka.

Setakat tahun 2014, 79 daripada 167 negara yang telah dinilai oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), memiliki undang-undang yang memperuntukkan cuti paterniti. Negara-negara ini termasuklah negara-negara jiran serantau: Singapura memperuntukkan dua minggu cuti paterniti berbayar, Myanmar memperuntukkan 15 hari, manakala Filipina memperuntukkan antara tujuh ke 14 hari.

Sementara itu, di Malaysia, para bapa yang bekerja di sektor swasta tidak diperuntukkan cuti paterniti – tidak seperti para bapa yang bekerja di sektor awam, yang ketika ini diberikan cuti paterniti selama tujuh hari.

Untuk membawa perubahan kepada sektor swasta, pada November 2019, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah mengemukakan petisyen bagi peruntukan tujuh hari cuti paterniti bagi sektor swasta, yang sehingga kini telah berjaya mengumpul lebih daripada 44,000 tandatangan, dan Menteri juga telah mengaku janji untuk membawa kertas cadangan cuti paterniti 7-hari ke kabinet.

Kertas cadangan ini amat penting di atas sebab-sebab yang berikut:

1. Cuti paterniti menggalakkan keseimbangan kerja dan hidup

“Saya selalunya akan pergi karaoke selepas kerja. Tetapi semenjak kelahiran anak lelaki saya, saya cuma ingin pulang ke rumah dan bermain dengannya,” kata Chew, bapa kepada 3 anak.

Para bapa juga ingin meluangkan masa bersama anak-anak. Sementara para ibu lebih cenderung berhenti bekerja untuk menjaga anak-anak, para bapa selalunya terpaksa melepaskan aspek-aspek yang lain dalam hidup mereka, contohnya seperti masa bersama rakan-rakan mereka. Tambahan lagi, kaji selidik dari pelbagai negara menunjukkan 85 peratus bapa rela melakukan apa sahaja untuk lebih melibatkan diri dalam hal-hal keluarga selepas kehadiran anak dalam keluarga mereka. Di Amerika Syarikat, lebih daripada dua pertiga (69 peratus) para bapa memberi maklum balas dalam sebuah kaji selidik nasional bahawa mereka rela menukar pekerjaan untuk menjaga anak yang baru lahir.

Kuala Lumpur berada di tempat terahir dalam Indeks Keseimbangan Kerja dan Hidup yang telah dikeluarkan oleh Kisi, sebuah syarikat keselamatan, yang menilai 40 bandar-bandar utama di seluruh dunia. Cuti berbayar kepada ibu bapa adalah salah satu faktor yang terdapat di dalam indeks tersebut.

Pelaksanaan cuti paterniti akan menjadi tanda sokongan syarikat ke atas para bapa dan menggalakkan mereka untuk setia bekerja dengan syarikat tersebut. Secara tidak langsung, ini akan mempengaruhi sikap mereka terhadap pekerjaan dan juga kualiti kerja mereka. Sebuah kajian kes di Kenya menunjukkan bahawa lelaki berpendapat mereka akan bekerja dengan lebih tekun setelah mengambil cuti paterniti. Sentimen positif turut digambarkan di dalam kajian tersebut apabila para bapa kembali bekerja selepas mengambil cuti atas kelahiran anak-anak mereka.

Banyak syarikat menyedari kepentingan memberi sokongan kepada ibu bapa yang bekerja dan telah mengambil inisiatif untuk memperuntukkan cuti paterniti. PwC Malaysia misalnya, baru-baru ini telah memperkenalkan skim cuti paterniti 30-hari. “Kami mengiktiraf peranan ‘polisi tempat kerja yang inklusif’ dalam memperkasakan serta membangunkan pekerja kami,” ujar Sridharan Nair, rakan kongsi urusan.

2. Cuti paterniti menggalakkan penjagaan bersama oleh ibu bapa

Wanita memerlukan sokongan daripada pasangan mereka terutama sekali selepas bersalin.

@Jinnyboy Menyuarakan sokongan bagi cuti paterniti 7 hari bagi para bapa di Malaysia, saya berharap cadangan ini akan diluluskan. Secara peribadi, saya berpendapat para bapa memainkan peranan yang besar dalam sesebuah keluarga terutamanya kepada anak yang baru lahir, disamping para isteri yang juga memerlukan sokongan fizikal dan emosi daripada para suami selepas bersalin.

Perkongsian tanggungjawab penjagaan anak oleh ibu dan bapa di peringkat awal bukan sahaja boleh memudahkan peralihan kepada keibubapaan, malah juga memberi faedah kepada kerjaya wanita setelah bersalin. Kajian menunjukkan bahawa penglibatan para bapa dalam penjagaan anak membolehkan para ibu kembali bekerja dengan lebih cepat dan kemudiannya memperkukuhkan lagi kedudukan wanita dalam pasaran kerja. Kesan ini jelas dilihat dalam kajian di Sweden yang menunjukkan wanita mendapat pendapatan yang lebih setiap bulan apabila para suami mengambil cuti paterniti.

Cuti paterniti turut mengelakkan diskriminasi yang dihadapi oleh wanita atas persepsi bahawa tanggungjawab menjaga anak-anak hanya eksklusif kepada para ibu. Para wanita yang menerima sokongan yang mencukupi di rumah akan lebih diperkasa untuk bekerja dengan lebih produktif di tempat kerja. Perkongsian tanggungjawab di rumah adalah langkah pertama dalam mengiktiraf bahawa lelaki dan wanita tidak boleh didiskriminasi dalam masyarakat berdasarkan gender mereka.

3. Para bapa memainkan peranan yang penting dalam perkembangan anak-anak

Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) telah mendapati bahawa anak-anak yang mendapat perhatian daripada bapa mereka mempunyai prestasi yang lebih tinggi di dalam ujian kognitif. Cuti paterniti membolehkan para bapa mewujudkan hubungan mendalam sebaik sahaja anaknya lahir ke dunia, seterusnya akan menggalakkan para bapa supaya lebih melibatkan diri dan menyumbang dalam aktiviti perkembangan kognitif kanak-kanak seperti membaca buku dan bermain bersama.

“Bapa saya selalu memandikan saya ketika saya masih kecil, dan apabila umur saya semakin meningkat, dia juga selalu membacakan buku cerita sebelum saya tidur sambil saya memakai tiara dan membayangkan saya adalah seorang puteri,” kata Bianca, yang kini merupakan seorang pelajar undang-undang.

Tambahan lagi, hubungan yang sihat dengan ibu bapa menggalakkan anak-anak untuk membina hubungan yang positif dengan orang lain. Justeru, anak-anak yang membesar dengan penjagaan ibu bapa yang positif jarang mengalami masalah semasa membesar kerana mereka mempunyai nilai kekeluargaan yang lebih kuat. Anak-anak yang melihat ibu dan bapa mereka memikul tanggungjawab bersama juga akan lebih cenderung untuk meneruskan model kesaksamaan gender apabila mereka membina keluarga sendiri pada masa depan. 

Cara kita membesarkan anak-anak pada hari ini akan memberi kesan kepada cara hidup masyarakat dan negara pada masa hadapan. Oleh itu, usaha mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perkembangan anak-anak adalah satu pelaburan untuk masa hadapan.

Kejayaan masyarakat dan negara bergantung kepada nilai yang kita amalkan, dan salah satunya adalah kesejahteraan keluarga dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, WAO mengesa supaya kerajaan memperkenalkan sekurang-kurangnya tujuh hari cuti paterniti di dalam sektor swasta.

Para majikan juga boleh menyokong ibu bapa yang bekerja dengan memperkenalkan cuti paterniti yang melebihi keperluan minimum yang ditetapkan dalam undang-undang. Anda juga boleh memainkan peranan anda dalam menjadikan cuti paterniti 7 hari di sektor swasta sebagai satu realiti dengan menandatangani petisyen di SINI.

Leave a Reply

Please Login to comment
avatar
  Subscribe  
Notify of
Nur Aishah
Nur Aishah
I'm Aishah, the co-founder of emakayah.com. Welcome to my author page. The following are mostly translations from our published English articles into Bahasa Melayu. Some articles, however, have been originally written in Bahasa Melayu.

Related Posts

Subscribe To Our Newsletter

To be updated with all the latest news, offers & special announcements.

error: Content is protected