Suri Rumah Lelaki: Peranan Bapa, Stereotaip Gender & Perkongsian Tanggungjawab

Kepentingan bapa dalam perkembangan psikologi anak-anak dan kesejahteraannya

Sejak kebelakangan ini, peranan bapa semakin mendapat perhatian dalam media dan menjadi topik perbincangan. Sudah pastinya, banyak tumpuan telahpun diberikan kepada hubungan ibu dan anak, sehingga menghasilkan pelbagai koleksi buku, blog ibu-ibu, serta iklan dan promosi berkenaan gender.

Brian Gesko, seorang suri rumah lelaki dan penulis, memerhati bahawa walaupun “memoir” sudahpun wujud, genre ini belum lagi mengetengahkan peranan dan pengalaman para bapa. Sejak tahun 1960-an, peranan para bapa telah dilihat sebagai tidak begitu penting dalam kehidupan keluarga.

Penyelidik perilaku moden walaubagaimanapun telah menekankan kepentingan bapa dalam perkembangan psikologi anak-anak dan kesejahteraannya. Dr. David Popenoe, seorang ahli sosiologi terkemuka, adalah salah seorang perintis dalam bidang kajian mengenai para bapa. Beliau menegaskan bahawa “seorang bapa memegang peranan yang lebih besar daripada sekadar ‘orang dewasa kedua’ di dalam rumah”.

Peranan bapa yang semakin meluas boleh dilihat dalam evolusi konsep seorang bapa, daripada seseorang yang agak berjauhan dan patriarki, kepada rakan bermain yang mesra dan seorang sahabat, dan kemudiannya kepada seseorang yang berkongsi tanggungjawab keibubapaan. Di sebalik anjakan paradigma ini adalah kepentingan peranan seseorang bapa yang tidak boleh dinafikan. Peranan tersebut termasuk memupuk pemahaman awal anak-anak mengenai kelelakian dan membantu mereka untuk memahami keibubapaan sebagai tanggungjawab bersama.

Salah faham yang perlu dihadapi oleh suri rumah lelaki

Walaupun istilah suri rumah lelaki semakin diterima dalam masyarakat, para lelaki yang menjadi suri rumah masih mendapati diri mereka dipandang serong. Terdapat banyak salah faham yang perlu dihadapi oleh suri rumah lelaki yang berkait rapat dengan stereotaip gender. Data bancian Amerika Syarikat pada tahun 1970-an menunjukkan hanya segelintir lelaki yang menyenaraikan pekerjaan mereka sebagai ibu bapa sepenuh masa.

Kini, setelah perjuangan empat dekad untuk kesamarataan gender, ianya masih lagi satu perkara yang jarang ditemui. Artikel ini bermatlamat untuk merungkai salah faham mengenai suri rumah lelaki dan menggalakkan perkongsian dalam tanggungjawab keibubapaan, yang akhirnya akan meningkatkan kesejahteraan keluarga. Artikel ini juga bertujuan untuk menekankan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk membentuk sebuah masyarakat di mana perkongsian keibubapaan adalah sesuatu yang biasa.

Berikutan perubahan dalam konsep kebapaan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah berbual dengan tiga orang suri rumah lelaki, En Eugene Tan, En Edmund Lim dan En Tajuddin untuk mendengar pandangan mereka tentang menangani norma gender dan juga peranan yang dimainkan oleh para bapa dalam kehidupan anak-anak mereka.

Temubual telah disunting untuk ringkasan


Sejak bila anda menjadi suri rumah dan mengapakan keputusan ini adalah keputusan yang terbaik untuk anda dan keluarga?

En Lim: Pada mulanya, masa saya bersama keluarga agak terhad kerana komitmen kerja. Disebabkan keadaan anak lelaki saya yang didiagnosis dengan Spinal Muscular Atrophy (SMA) dan dianggarkan hanya mempunyai jangka hayat satu hingga dua tahun, kami memutuskan bahawa situasi di mana bapa bekerja dan isteri menjadi suri rumah tidak sesuai untuk kami sekeluarga dan tidak selari dengan nilai keibubapaan kami. Oleh itu, kami memutuskan saya akan bekerja dari rumah kerana saya dan isteri memerlukan ruang untuk kelurga dan juga pekerjaan. Saya juga ingin meluangkan lebih masa bersama anak-anak saya.

En Tajuddin: Pada tahun anak perempuan saya dilahirkan, saya menganggur. Walaupun isteri saya mempunyai pekerjaan tetap, kami tidak berkemampuan untuk membayar pusat jagaan atau pembantu rumah. Oleh itu, kami memutuskan bahawa saya akan berada di rumah untuk menjaga anak-anak sehingga kami berkemampuan untuk membayar perkhidmatan jagaan.

En Tan: Kami suami isteri percaya pada prinsip kesamarataan. Isteri saya telah mengorbankan kerjayanya untuk menjadi suri rumah dan membesarkan anak sulung kami. Saya merasakan sebagai suami, saya patut mengambilalih tugas ini untuk anak yang seterusnya. Saya sentiasa seronok melakukan kerja-kerja rumah terutamanya memasak. Jadi, ini merupakan satu keputusan yang mudah untuk saya apabila masanya tiba.

Adakah anda mendapati keputusan anda dikecam atau disokong oleh orang sekeliling anda?

En Lim: Saya rasa ada kecaman, dan ada juga sokongan. Mereka yang tidak memahami keputusan kami mungkin bimbang akan kami, terutamanya dalam hal perkembangan kerjaya dan kewangan. Masih ada juga sokongan, sama ada diluahkan atau tidak, dan ianya  memberi galakan kepada saya. Sama ada mereka boleh memahami atau menghargai keputusan saya atau tidak, itu bukanlah urusan saya.

En Tajudin: Ramai orang rasa pelik apabila mengetahui saya yang menjaga anak di rumah manakala isteri saya pula yang bekerja. Kebanyakan ibu bapa di sekolah juga tertanya-tanya kenapa saya tidak bekerja.

En Tan: Pada mulanya, ada yang rasa bimbang tetapi reaksi mereka mungkin disebabkan rasa terkejut dan bukannya kerana mereka memandang serong keputusan saya. Pada pendapat saya, seseorang tidak harus dipandang serong disebabkan ingin meluangkan masa bersama anak-anak.

Bagaimanakah pengalaman anda menjadi seorang bapa yang membesarkan anak sepenuh masa setakat ini?

En Lim: Saya dan isteri berkongsi tanggungjawab untuk menjaga anak-anak secara sepenuh masa, contohnya saya akan menjaga untuk beberapa hari dan kemudiannya isteri saya pula akan mengambil alih untuk beberapa hari. Pecahannya bukanlah 50/50 kerana isteri saya yang meluangkan lebih masa untuk menjaga anak-anak. Semasa peralihan menjadi seorang suri rumah, saya memberi tumpuan kepada kekuatan saya dan apa yang saya boleh lakukan dengan baik. Antara cabaran-cabaran yang saya perlu hadapi adalah jarak sosial setelah keluar dari pasaran kerja komersil.  Anak-anak saya, terutamanya anak lelaki sulung saya, telah melihat perbezaan antara saya dengan bapa rakan-rakannya yang bekerja dan bertanya mengapa saya lebih banyak berada di rumah berbanding mereka.

En Tajuddin: Peralihan daripada bekerja sepenuh masa kepada menjaga anak sepenuh masa pada awalnya agak sukar. Kemudiannya saya menyedari bahawa ini adalah lebih daripada bekerja sepenuh masa, ianya adalah kerja 24 jam. Tapi ia akhirnya menjadi satu pekerjaan yang menyeronokkan. Saya boleh meluangkan masa bersama anak-anak dan ini adalah pengalaman yang tidak pernah saya nikmati ketika saya membesar. Sebagai suri rumah lelaki, interaksi dengan anak-anak adalah perkara yang paling saya gemari dalam menjalankan tugas ini. Salah satu cabaran yang saya hadapi adalah apabila anak perempuan saya yang risau kerana saya tidak bekerja seperti bapa rakan-rakannya yang lain. Ianya juga suatu cabaran untuk membantu anak-anak saya memahami situati keluarga kami.

En Tan: Peralihan daripada bekerja sepenuh masa kepada menjaga anak sepenuh masa sebenarnya amat mudah bagi saya. Peluang untuk melihat anak-anak mereka membesar dan menjadi sebahagian daripada pengalaman tersebut cuma sekali sahaja dalam seumur hidup. Jadi, sekiranya anda berpeluang, janganlah lepaskan peluang ini.

Adakah anda mendapati masyarakat mempunyai standard yang lebih rendah untuk para bapa? Ataupun, adakah para ibu dinilai berdasarkan standard yang lebih tinggi?

En Lim: Stereotaip tentang topik ini memang wujud dan sukar diubah kerana ianya sudah menjadi kebiasaan dalam budaya Asia. Setiap ibu bapa mempunyai kekuatan yang berbeza. Oleh itu, kita perlu mengenalpasti kekuatan masing-masing dan menggunakannya dalam membesarkan anak-anak dan menguruskan keluarga.

En Tajuddin: Apa yang penting adalah keyakinan dan kebolehan setiap individu. Sekiranya kita ingin wanita duduk sama tinggi dengan lelaki, lelaki juga harus menjaga anak-anak. Ini bukan tentang menunjukkan siapa yang lebih baik, tetapi tentang perkongsian tanggungjawab.

En Tan: Kami saling menghormati cara didikan masing-masing dan juga menyokong satu sama lain dalam membesarkan anak-anak. Kami juga tidak memandang rendah antara satu sama lain.

Bagaimanakah menjadi seorang suri rumah lelaki memberi kebaikan kepada hubungan suami isteri dan anak-anak?

En Lim: Pada pendapat saya, suri rumah bukanlah sesuatu pekerjaan. Ianya telah membantu saya mengeratkan lagi hubungan dengan anak-anak dan mengenali mereka dengan lebih mendalam. Saya juga percaya saya membawa perubahan kepada mereka dengan membantu mereka mengenali personaliti unik mereka.

En Tajudin: Ini sudah pastinya mengeratkan hubungan kekeluargaan kami. Sekarang anak-anak saya sudah remaja, dan mereka serta isteri saya menghormati saya. Malah kini, kami selalu berbincang mengenai apa sahaja keputusan yang ingin diambil. Anak-anak perempuan saya sentiasa tahu bahawa saya sentiasa ada apabila mereka memerlukan.

En Tan: Satu perkara yang saya amat bangga adalah hubungan yang telah saya bina dengan anak-anak. Mereka sentiasa akan menyapa saya “I love you Daddy” setiap pagi dan sebelum mereka tidur.


Temubual ini menunjukkan bahawa ketiga-tiga bapa ini mempunyai pengalaman yang positif menjadi suri rumah. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran berkenaan keibubapaan dan stereotaip gender, para bapa ini telah berjaya memberi makna baru kepada peranan mereka sebagai bapa dalam sesebuah masyarakat yang tidak semestinya menggalakkan perkongsian tanggungjawab keibubapaan. 

En Lim bergambar bersama-sama 2 orang anak lelakinya

Tuntasnya, apa yang menjadikan lelaki seorang bapa bukanlah ketegasan atau kegarangan mereka. Sebaliknya, ianya adalah tentang mengasuh anak-anak dan memainkan peranan aktif dalam perkembangan mereka. Perkongsian tanggungjawab memberikan faedah kepada sesebuah keluarga, kerana kedua-dua ibu bapa terlibat dalam membina hubungan dengan anak-anak, sekali gus menggalakkan perkembangan mereka yang sihat.

Dalam mengiktiraf keibubapaan sebagai tanggungjawab bersama, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) kini sedang memperjuangkan cuti paterniti selama tujuh hari untuk para bapa yang bekerja di sektor swasta. Kini, para bapa yang bekerja di sektor swasta tidak diperuntukkan cuti paterniti, sementara para bapa yang bekerja di sektor awam diperuntukkan tujuh hari cuti paterniti berbayar.

En Tan bergambar bersama 3 orang anaknya ketika dia menjadi suri rumah

Perkenalan cuti paterniti dalam sektor swasta sudah pastinya akan memberi mesej bahawa keibubapaan merupakan tanggungjawab bersama. Ianya juga menggalakkan penglibatan bapa dan mengeratkan hubungan antara bapa dengan anak-anak apabila mereka sedang membesar.

Anda boleh menyokong perjuangan kami untuk cuti paterniti dengan menandatangani petisyen kami di sini.


Ditulis oleh

Ankita Saigal dan Kavina Rajendran, sukarelawan WAO

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Women's Aid Organisation
Women's Aid Organisation
Women's Aid Organisation (WAO) is a non-religious NGO based in Malaysia, committed to ending violence against women. WAO provides shelter and crisis support to survivors of gender-based violence and also advocates for women's human rights.

Subscribe To Our Newsletter

To be updated with all the latest news, offers & special announcements.

error: Content is protected