Permainan Tidak Berstruktur: Kenapa Penting

Apa Itu Messy Play

Bermain berupaya menggalakkan pertumbuhan segenap aspek perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Dan kanak-kanak lazimnya suka Permainan Tidak Berstruktur atau Messy Play, sama ada melompat di dalam lopak yang berlecak atau melumurkan lumpur di wajah mereka. Banyak kajian telah dijalankan dan kajian yang telah mengambil masa bertahun-tahun ini telah mengajar kita bahawa kanak-kanak belajar melalui bermain. Baca artikel kami tentang pentingnya bermain; Pentingnya Bermain: Kenapa Kanak-kanak Perlu Bermain.

Bermain adalah jendela kepada dunia kanak-kanak dan orang dewasa yang memahami nilai bermain akan komited untuk belajar mengenai kanak-kanak semasa mereka bermain. Aktiviti bermain berupaya memberitahu kita tentang perkara-perkara berkaitan kehidupan, kesihatan dan tahap perkembangan seseorang kanak-kanak. Dengan melihat kanak-kanak bermain, kita boleh belajar bagaimana kanak-kanak tersebut berfikir, apa yang mereka rasa dan apa yang mereka percaya. Bermain juga dapat memberitahu kita tentang kesakitan mereka, konflik yang mereka sedang hadapi serta perasaan tidak yakin pada diri mereka. Mereka yang menghargai keperibadian seseorang kanak-kanak mesti juga menghargai nilai-nilai bermain kanak-kanak – Krishna M Goel, pengarang Atlas of Pediatric Physical Diagnosis

Jadi, apakah sebenarnya Permainan Tidak Berstruktur? Permainan Tidak Berstruktur atau Messy Play adalah sebuah aktiviti deria langsung yang memerlukan kanak-kanak menggunakan semua deria mereka semasa melakukan penerokaan ketika bermain, terutamanya deria sentuhan. Aktiviti seperti ini menawarkan pelbagai pengalaman-pengalaman yang lazimnya berorientasikan deria. Di samping itu, aktiviti yang berasaskan Permainan Tidak Berstruktur ini juga berupaya menggalakkan perkembangan kognitif serta kreativiti kanak-kanak.

Mengapa Penting

Permainan Tidak Berstruktur berupaya menyokong segenap aspek pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak. Aktiviti yang berasaskan Permainan Tidak Berstruktur ini juga mampu mendorong perkembangan fizikal, memberi pengalaman deria yang menarik, memupuk rasa ingin tahu serta berkemampuan membantu kanak-kanak mempelajari kemahiran berbahasa dan komunikasi. Walaupun idea Permainan Tidak Berstruktur ini sering membuatkan ibu bapa berasa tidak senang, faedahnya jauh melebihi kesulitan.

Bayangkan aspek kreativiti, kecekalan, kemahiran merunding risiko, amalan berkongsi – semua jenis kemahiran dan pekembangan pembelajaran ini, diterapkan secara serentak dalam satu aktiviti – itulah Permainan Tidak Berstruktur yang berasaskan alam semula jadi. Kelihatan mudah tetapi kesannya sangat mendalam. Yang paling penting, kanak-kanak bukan sahaja dapat menikmati faedah-faedah Permainan Tidak Berstruktur, tetapi mereka juga dapat belajar untuk menjadi lebih sedar akan apa yang ada di sekeliling mereka, sekali gus mendidik mereka untuk lebih menyayangi dan bersimpati terhadap penghuni Bumi yang lain, serta menjadi lebih peka terhadap tindakan dan akibatnya terhadap orang lain. Peluang untuk mendekati alam semula jadi ini adalah keratan penting yang hilang dari Permainan Tidak Berstruktur – Chloe Khor, Pengasas Little Urban Forest

Gambar ihsan: Little Urban Forest

Terdapat banyak kebaikan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Memetik keratan dari sebuah artikel yang telah ditulis oleh Early Years Resources,kanak-kanak belajar melalui eksperimen dan penemuan dan Permainan Tidak Berstruktur ini berupaya mendorong kanak-kanak untuk meneroka tekstur baru dan memanipulasi bahan yang berbeza melalui deria sentuhan.”

Kajian ini pula yang bertajuk “Creativity And Imagination In Messy Play Among Preschool Children” yang telah diterbitkan oleh Universiti Malaya telah dijalankan bagi mengkaji bagaimana Permainan Tidak Berstruktur ini berupaya merangsang kreativiti dan imaginasi kanak-kanak prasekolah. Peserta dalam kajian tersebut terdiri daripada 2 pengetua sekolah dan 8 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun dari dua prasekolah yang terpilih.

Hasil darripada kajian tersebut telah menunjukkan bahawa pelbagai aktiviti Permainan Tidak Berstruktur boleh dilaksanakan bagi mendorong perkembangan kreativiti dan imaginasi kanak-kanak prasekolah. Kajian ini juga telah menunjukkan bahawa aktiviti Permainan Tidak Berstruktur berupaya mencetuskan daya kreativiti dan imaginasi di kalangan kanak-kanak prasekolah.

Kajian tersebut menyimpulkan bahawa tiga jenis aktiviti Permainan Tidak Berstruktur yang merangkumi permainan umum, bermain dengan bahan lembut dan basah serta bermain dengan bahan lembut memiliki banyak manfaat dan pengaruh besar terhadap perkembangan kreativiti dan imaginasi kanak-kanak prasekolah.

Di Little Building Blocks kami menyediakan sebuah persekitaran di mana kanak-kanak diberi ruang dan peluang untuk membuat pilihan mereka sendiri, aktiviti ini sekali gus melatih mereka untuk menjadi lebih berkeyakinan serta berupaya membuat keputusan yang lebih baik. Kanak-kanak juga belajar untuk bekerjasama ketika bermain bersama kanak-kanak yang lain. Aktiviti berkumpulan ini juga berupaya mengajar mereka untuk melakukan pemerhatian yang lebih baik – Kavita Rai, Pengasas Little Building Blocks Playhouse

Apa Manfaat-manfaatnya

Kemahiran Motor Halus & Kasar: Permainan Tidak Berstruktur berupaya membantu kanak-kanak mengembangkan kemahiran motor halus dan kasar mereka. Pergerakan kecil yang mereka lakukan ketika memerah dan meraup, menggunakan otot di jari, pergelangan tangan, lengan, jari kaki serta bahu mereka berupaya membantu memperbaiki kemahiran motor halus. Pergerakan yang lebih besar pula seperti melompat dan melempar menggunakan otot yang lebih besar di lengan, kaki dan badan berupaya membantu menyempurnakan kemahiran motor kasar mereka.

Kemahiran Komunikasi: Permainan Tidak Berstruktur berupaya mencetuskan bibit perbualan antara anda dan anak anda. Ini kerana aktiviti sebegini memerlukan kanak-kanak untuk menyatakan dan membincangkan apa yang mereka sedang buat dan apa yang mereka sedang rasakan. Ini sekali gus mendorong kanak-kanak untuk berusaha mengartikulasikan pemikiran mereka sehingga mereka dapat menjelaskan apa yang mereka sedang lakukan dengan lebih jelas kepada orang lain – kaedah yang sangat efektif untuk kanak-kanak mula belajar meneroka emosi mereka serta mempelajari kalau tidak meningkatkan lagi penguasaan kosa kata baru.

Gambar ihsan: Little Urban Forest

Kemahiran Sosial & Emosi: Permainan Tidak Berstruktur mengajar kanak-kanak membuat pilihan mereka sendiri, mereka belajar untuk bekerjasama, memahami idea dan pandangan orang lain serta belajar bagaimana mengekspresikan pendapat mereka sendiri. Aktiviti yang berorientasikan Permainan Tidak Berstruktur ini juga boleh dilakukan sama ada dalam bentuk berkumpulan mahupun persendirian. Menurut Psychology Today, membuat keputusan sendiri adalah salah satu kemahiran terpenting yang perlu dipelajari oleh kanak-kanak untuk menjadi seorang dewasa yang sihat dan matang. Melalui Permainan Tidak Berstruktur ini juga, kanak-kanak akan belajar bagaimana untuk bekerjasama ketika bermain dengan kanak-kanak lain.

Permainan Tidak Berstruktur adalah satu aktiviti yang sangat penting untuk bayi dan kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui bermain, terutamanya Permainan Tidak Berstruktur (Messy Play) serta aktiviti bermain yang berorientasikan penerokaan. Dengan kata lain, mereka belajar dengan lebih baik melalui aktiviti bermain yang tidak berstruktur! Menyediakan persekitaran yang tidak menekankan apa yang betul atau apa yang salah berupaya membina harga diri dan pengalaman positif di kalangan kanak-kanak. Dengan bermain secara berkumpulan, mereka berpeluang untuk mencari dan membuat kawan baru di samping belajar menghormati orang lain serta diri mereka sendiri. Semasa kanak-kanak terlibat dalam Permainan Tidak Berstruktur, mereka saling berkongsi perasaan dan fikiran, dan ini sekali gus menyokong perkembangan emosi mereka – Kavita Rai, Pengasas Little Building Blocks Playhouse

Apa Permainan Tidak Berstruktur Yang Boleh Saya Cuba Di Rumah

Lukisan jari (Finger-painting): Lukisan jari adalah satu satu aktiviti yang boleh disertai sama ada oleh kanak-kanak yang lebih tua atau kanak-kanak yang lebih muda. Apa yang anda perlukan hanyalah cat serta tangan dan jari-jari kecil!

Playdough: Playdough atau plastisin adalah bahan yang sangat mudah dan seronok digunakan. Terdapat banyak cara untuk bermain dengan plastisin.

Bermain buih pada waktu mandi: Letakkan cecair pencuci badan di dalam air dan biarkan anak kecil anda mengocak air tersebut sehingga buih-buih dari cecair pencuci badan itu tadi memenuhi dinding besen mandi bayi anda. Masukkan beberapa cawan dan sudu plastik supaya mereka boleh bermain dengan buih-buih tersebut.

Bermain di luar rumah: Jom bermain di luar. Biarkan anak-anak anda bermain dengan lumpur, batu, air, ranting dan daun. Richard Louv dalam bukunya yang berjudul Last Child in the Woods telah mengajar kita tentang Gangguan Defisit Alam Semula Jadi (Nature Deficit Disorder). Buku ini telah ditulis untuk memberi gambaran implikasi terhadap tindakan manusia yang cuba memisahkan diri mereka dari alam semula jadi. “Frasa Nature-deficit disorder bukanlah diagnosis formal.” jelas Richard Louv, “tetapi hanyalah siri gambaran implikasi yang merangkumi aspek psikologi, fizikal serta kognitif yang akan berlaku apabila manusia cuba memisahkan diri mereka dari alam semula jadi, terutama kanak-kanak yang sedang berkembang pada tahun-tahun awal mereka.”

Gambar ihsan: Little Urban Forest

Kawan baik kami di LUF sudah pastinya tanah – pasir, lumpur, kotoran – anda namakan, kami suka bermain dengannya. Tanah mempunyai sensasi penyejukan terapeutik apabila anda menggali menggunakan tangan anda di dalamnya. Gabungkan ini dengan fleksibiliti yang berupaya untuk berubah menjadi apa sahaja (kemungkinan yang tidak berkesudahan!) – ini adalah aktiviti pilihan kami, Permainan Tidak Berstruktur (Messy Play) yang berasaskan alam semula jadi. Lumpur, misalnya, didapati mengandungi Mycobacterium vaccae yang merupakan mikrob yang berupaya membantu meningkatkan tahap serotonin dalam otak kita dan seterusnya, berupaya menenangkan suasana atau perasaan (mood), meningkatkan imuniti serta berupaya untuk membuat kita berasa seronok! Anak yang gembira adalah pelajar yang gembira! Di samping itu, kami mempunyai ruang yang besar yang telah diisikan dengan pasir di dalamnya di taman permainan kami, tetapi bagi kanak-kanak, ruang tersebut adalah kedai roti mereka, pulau lanun mereka, kedai ais krim mereka. Bayangkan aspek-aspek pembelajaran seperti kreativiti, daya tahan, perundingan risiko, amalan berkongsi – pelbagai jenis kemahiran belajar dan perkembangan, boleh diterapkan secara serentak dalam satu aktiviti – itulah Permainan Tidak Berstruktur (Messy Play) yang berasaskan alam semula jadi – Chloe Khor, Pengasas Little Urban Forest

Kesimpulan

Kami harap artikel ini bermanfaat untuk anda. Beberapa perkara yang perlu diingat semasa melakukan aktiviti Permainan Tidak Berstruktur di rumah, tutup permukaan lantai dengan kain atau lembaran plastik dan selalu berbincang dengan anak anda tentang apa yang dia rasa dan apa yang mereka sedang lakukan. Sekiranya anda tidak suka Permainan Tidak Berstruktur di dalam rumah, bawa aktiviti tersebut ke luar rumah!

Prasekolah-prasekolah yang telah disebut dalam artikel ini adalah Little Urban Forest dan Little Building Blocks Playhouse. Kedua-dua prasekolah ini terletak di Lembah Klang. Ditubuhkan pada tahun 2019, Little Urban Forest menawarkan program pendidikan awal yang menggalakkan kanak-kanak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang berorientasikan alam semula jadi. Terletak di Petaling Jaya sejak tahun 2017, Little Building Blocks pula adalah sebuah taman asuhan kanak-kanak yang menyedia dan menyampaikan pendidikan awal melalui aktiviti bermain di dalam persekitaran yang selamat.


Rujukan

Beckerleg, T. (2008). Fun with Messy Play: Ideas and activities for children with special needs. Jessica Kingsley Publishers.

Hewes, J. (2006). Let the children play: Nature’s answer to early learning. Early Childhood Learning Knowledge Centre.

Duffy, B. (2007). All about… messy play. The Early Years Foundation Stage Primary National Strategy.

Jade. (2020, February 12). Messy Play for Physical Development. Retrieved from http://www.earlyyearsresources.co.uk/blog/2018/06/messy-play-physical-benefits/

Yin, L. C., Zakaria, A. R., Hutagalung, F., & Salleh, U. K. M. (2014, February). Creativity and imagination in messy play among preschool children. In Recent Trends in Social and Behaviour Sciences: Proceedings of the International Congress on Interdisciplinary Behaviour and Social Sciences 2013 (p. 345). CRC Press.

Taylor, J. (2009, October 19). Parenting: Decision Making. Retrieved from https://www.psychologytoday.com/us/blog/the-power-prime/200910/parenting-decision-making

Goel, K. M., & Carachi, R. (2020). Hutchisons atlas of pediatric physical diagnosis. New Delhi: Jaypee Brothers.

Louv, R. (2009, January 28). No More “Nature-Deficit Disorder”. Retrieved from https://www.psychologytoday.com/us/blog/people-in-nature/200901/no-more-nature-deficit-disorder

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Nur Aishah
Nur Aishah
I'm Aishah, the co-founder of emakayah.com. Welcome to my author page. The following are mostly translations from our published English articles into Bahasa Melayu. Some articles, however, have been originally written in Bahasa Melayu.

HOME EDUCATION ACCELERATOR ™ Training Program for Parents and Carers

Would you like to fully support your children to learn to their Full Potential and help them develop Future-Oriented Life Skills?

Subscribe To Our Newsletter

To be updated with all the latest news, offers & special announcements.

error: Content is protected