Destinasi Warisan & Sejarah Yang Boleh Anda Lawati Di Selangor

Hayati Hari Malaysia Di Selangor Dengan “Pusing Selangor Dulu” ke Tempat Pelancongan dengan Seribu Satu Kisah Nilai Warisan Sejarah.

Bulan Ogos dan September merupakan bulan bermakna bagi rakyat Malaysia di mana sejarah pahit getir yang telah diharungi oleh pejuang Tanah Melayu suatu ketika dahulu yang mempertahankan ibu pertiwi kembali menjadi imbauan.

Adalah baik bagi pengunjung untuk melawati ke tempat-tempat yang berkonsepkan sejarah dan memahami kepentingan dan kelebihannya bagi mengambil iktibar daripada pelbagai kisah-kisah dan peristiwa terdahulu sebagai panduan dan pengajaran dalam usaha untuk menikmati kehidupan yang lebih harmoni.

Terdapat pelbagai tempat bersejarah dan menarik di Daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Hulu Langat dan juga Hulu Selangor. Rebut peluang untuk melawati tempat-tempat bersejarah di Selangor bersama keluarga anda demi menghargai tokoh-tokoh negara Malaysia terdahulu. Berikut merupakan senarai tempat pelancongan sekitar Negeri Selangor yang boleh dikunjungi sewaktu cuti Hari Malaysia ini:


Istana Bandar Jugra, Kuala Langat

Pada asalnya Istana Bandar ini merupakan Pusat Pemerintahan Kerajaan Selangor sejak lebih dari 100 tahun. Hampir kesemua struktur istana diperbuat daripada batu bata dan kapur, pintu dan tangga pula diperbuat daripada kayu cengal. Reka bentuk bangunan adalah dari seni bina tempatan dan kolonial British. Kini Istana Bandar ini dijadikan Galeri Diraja atau “living museum” untuk dilawati oleh pengujung malah dijadikan pusat pengajian Al-Quran oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Kemasukan ke Istana Bandar adalah percuma dan ianya dibuka pada setiap hari. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: info@heritage.gov.my


Bukit Malawati, Kuala Selangor

Gambar ihsan The Star

Bukit Malawati merupakan Ibu Pejabat perang dan Kubu Kerajaan Kesultanan Selangor sejak abad ke-18 dimana pernah terjadinya pergaduhan antara Belanda, Johor dan Riau. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam dari Shah Alam untuk sampai ke Bukit Malawati dan anda dapat menikmati pemandangan yang menyenangkan merangkumi seluruh Daerah Kuala Selangor pada waktu matahari terbit dan terbenam.

Selain itu, Bukit Malawati dipenuhi dengan monyet “Silver Leafed” yang mesra dimana pengunjung boleh memberi makanan kepada mereka. Terdapat juga kemudahan trem disediakan kepada pengunjung yang melawat pada hari minggu. Masuk adalah percuma dan bayaran dikenakan untuk menaiki trem di Bukit Malawati hanya RM3 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak kanak (3-12 tahun). Waktu operasi perkhidmatan trem dibuka pada pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada hujung minggu dan cuti umum sahaja. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: ydp@mdks.gov.my (Majlis Daerah Kuala Selangor)


Bukit Belanda, Kuala Selangor

Gambar ihsan flickr.com

Dikenali sebagai Kota Ultrech sempena nama rasmi kapal Belanda semasa zaman penaklukan Belanda yang telah menewaskan Raja Haji Fisabilillah di Teluk Ketapang. Bukit ini juga merupakan kubu pertahanan Belanda yang pertama dan strategik kerana tempatnya yang tinggi dan mudah untuk melihat musuh dari jauh. Kini, berdekatan dengan Bukit Malawati, pengunjung juga boleh singgah dan melawati Bukit Belanda untuk bergambar dan melihat suasana nostalgia suatu ketika dahulu. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: ydp@mdks.gov.my (Majlis Daerah Kuala Selangor)


Bandar Diraja Klang, Klang

Gambar ihsan flickr.com

Dikenali sebagai salah satu bandar tertua di Malaysia, Klang kaya dengan sejarah, tradisi dan adat istiadat. Bandar ini bermula di tebing selatan Sungai Klang, yang terkenal di seluruh dunia dalam penghasilan bijih timah seawal abad ke-15. Klang menjadi ibu kota kerajaan sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur. Tourism Selangor menyediakan pengalaman lawatan ke seluruh Bandar Klang dengan Program Royal Klang Town Heritage Walk Tour.

Pelbagai keunikan dan keistimewaan boleh dirasai seperti menikmati kecantikan senibina bangunan bersejarah, menyelusuri premis perkhidmatan menilik nasib, lukisan, tekstil penenunan masyarakat India, dan pelbagai lagi. Selain itu, pengunjung juga boleh membeli buah tangan di sekitar kawasan Jalan Tengku Kelana atau dinamakan Jalan Little India. Dalam perjalanan itu kita juga dapat berinteraksi secara langsung dengan masyarakat Klang yang pelbagai agama dan bangsa yang ramah dan mesra. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: product@tourismselangor.my (Majlis Daerah Tourism Selangor)


Pantai Morib, Kuala Langat

Gambar ihsan flickr.com

Pantai yang panjangnya sejauh 3 km menghadap Selat Melaka, merupakan sebuah tapak yang bersejarah penting sewaktu ketika dahulu. Pada tahun 1945, pantai ini merupakan simbol bagi tempat kedatangan tentera Inggeris ketika Perang Dunia Kedua untuk merampas Tanah Melayu dan menjadi tempat pertahanan daripada serangan Jepun sekaligus menandakan pengakhiran Perang Dunia Kedua di rantau ini. Sekarang, dengan mengambil masa 1 jam dari Kuala Lumpur, pantai ini telah menjadi tempat rekreasi untuk pengunjung bersantai, melakukan aktiviti riadah, berkhemah dan sebagainya. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: mdkl.gov.my (Majlis Daerah Kuala Langat)


Bandar Kajang, Hulu Langat

Gambar ihsan azhamshaari.com

Pada zaman dahulu, Kajang merupakan kawasan penempatan suku kaum Temuan sejak tahun 1709. Batin Seri Alam merupakan seorang ketua yang berpusat di Kajang sebelum kuasanya ditundukkan oleh kuasa Sultan Johor kerana berada dibawah jajahan Johor ketika itu. Berhampiran dengan Sungai Langat, Bandar Kajang ini telah membangun dengan jayanya. Sungai Langat sangat penting kerana ia laluan utama dagangan dan pengangkutan hasil lombong bijih timah dan getah ke luar negara seperti ke negara Britain. Selain itu, Kajang juga terkenal dengan makanan Satay Kajang yang digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: leekimsin@gmail.com (Pusat Warisan Kajang/Kajang Heritage Center)


Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor

Kuala Kubu Bharu asalnya dikenali sebagai Kuala Kubu yang ditempatkan di bawah Pentadbiran Residen-Residen British antara yang terawal iaitu Presiden Frank Swettenham bersama J.P Rodger dan Edward Maxwell. Kuala Kubu menjadi pintu masuk ke Negeri Pahang ketika itu. Disebabkan banjir besar yang melanda, pihak British telah memindahkan Pusat Pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931.

Kuala Kubu juga pernah menjadi pintu utama bagi menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak. Sejak tahun 1994, Kuala Kubu Bharu kini telah menjadi bandar yang selesa dan pesat membangun. Kini, Kuala Kubu Bharu menawarkan aktiviti eko-pelancongan bagi penggemar aktiviti ekstrem seperti paragliding, white water rafting dan juga water tubing. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: webmaster@mdhs.gov.my (Majlis Daerah Hulu Selangor)


Kota Raja Mahadi, Klang

Gambar ihsan kaalvoetinklang

Terletak tidak jauh dari bangunan Majlis Perbandaran Klang, Kota Raja Mahadi ini dibina oleh Raja Mahadi bin Raja Sulaiman ketika kemuncak peperangan Klang iaitu pada tahun 1866. Peperangan Klang berlaku akibat perebutan kuasa untuk memerintah Daerah Klang antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah.

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh perubahan masa dan zaman, struktur bangunan yang tidak kukuh hanya meninggalkan pintu gerbang yang mana menjadi mercu tanda kekuatan empayar Raja Mahadi. Pengunjung boleh singgah di Kota Raja Mahadi ini berdekatan dengan Bangunan Sultan Alam Shah untuk bergambar dan melihat tinggalan pintu bersejarah ini. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: klang@selangor.gov.my (Pejabat Daerah Klang)


Bangunan Tan Boon Chia, Hulu Selangor

Gambar ihsan Wikipedia

Bangunan Tan Boon Chia terletak di Rasa, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor yang merupakan kawasan Bandar yang dikenali sebagai tempat perlombongan biji timah yang menyumbang kepada sumber kekayaan. Bangunan bersejarah ini dibina pada tahun 1918 oleh seorang peniaga lombong yang bernama Tan Boon Chia.

Bangunan ini mempunyai 51 buah bilik dan dijadikan sebagai markas pentadbiran sepanjang Tanah Melayu dijajah oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Bangunan ini kini hanya boleh dilihat dan diambil gambar dari luar premis dan pengunjung juga boleh melawat ke Bandar Rasa untuk beristirehat.Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: webmaster@mdhs.gov.my (Majlis Daerah Hulu Selangor)


Sememangnya, sejarah negara amat penting untuk generasi yang akan datang. Kita haruslah menerapkan nilai-nilai murni dan perpaduan sesama bangsa bagi menjalani kehidupan yang harmoni. Selain itu, pihak Tourism Selangor menyarankan agar pengunjung dapat mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa sejarah terdahulu dan, menjaga dan memelihara adat resam dan tradisi. Selain itu, sentiasalah beringat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga penjarakan sosial bagi mengelakkan sebarang jangkitan virus merbahaya Covid-19. Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat yang lebih lanjut, anda boleh layari sesawang rasmi di Selangor.travel.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Editorial
Editorial
We take our responsibilities seriously as a provider of free parenting resources. Our published articles are therefore written based on evidence-based information parents can rely on. Parenthood is hard. But it’s also the most rewarding. Our first goal is thus to make sure our content is concise, accurate and accessible.

Home Education Accelerator - Training Program for Parents & Carers

Learn how to offer Future-Oriented Personalised Holistic Home Learning! You can easily support your children's learning at home - without any planning or disruptions to your everyday family life!

Active Learning Booster - Training Program for Early Childhood & Primary Teachers

Online Interactive Teacher Training Program to help you offer Future-Oriented Early Childhood and Early Primary Education based on Active Experiential Holistic Learning!

Subscribe to our newsletter

Enter your email address and join the ranks of subscribers to get our latest updates direct to your inbox.

error: Content is protected